Gabriel Palmero Rasmi Ke JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bekas bek kiri Kuching City, Gabriel Palmero sah memilih JDT sebagai destinasi baharunya selepas diumumkan sebagai pemain terbaru Johor Darul Ta’zim (JDT).

Perpindahan pemain berusia 24 tahun itu diumumkan pengurusan Harimau Selatan di semua platform rasmi pasukan itu.

Pengumuman itu sekali gus menamatkan teka-teki tentang kemunculan beliau dalam vlog skuad JDT semasa jelajah pra-musim di Sepanyol pada Julai lalu.

“Masih berusia 24 tahun dan merupakan pemain di posisi kiri, Gabriel Palmero menyertai Rumah Kejuaraan. Selamat datang ke Johor Darul Ta’zim FC,” dalam satu kenyataan di laman media sosial milik JDT.

Sebelum menyertai Harimau Selatan, beliau telah mengikat kontrak bersama Kuching City pada awal tahun ini. Namun, jodoh Palmero bersama The Cats hanya bertahan selama 2 bulan.

Gabriel Palmero dijangka bakal merebut tempat posisi bek kiri JDT bersama-sama pemain import Argentina, Jonathan Silva dan Corbin Ong bagi musim 2026/27.

Selain mampu beraksi di posisi bek kiri, Gabriel Palmero turut mempunyai kelebihan untuk beroperasi di bahagian pertahanan kanan sekiranya diperlukan oleh ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Muñoz.

Kebolehan beraksi di lebih daripada satu posisi itu pastinya menjadi satu kelebihan buat Palmero, terutama dalam membantu pasukan menyesuaikan taktikal mengikut keperluan perlawanan. Fleksibiliti yang dimilikinya juga memberi lebih banyak pilihan kepada barisan kejurulatihan untuk mengatur benteng pertahanan JDT.

Untuk rekod, JDT merupakan kelab ke-10 yang disertai pemain berusia 24 tahun itu sepanjang kariernya. Pengalaman luas bersama beberapa kelab sebelum ini diharap dapat membantu Palmero memberikan sumbangan positif serta menambah kekuatan kepada barisan pertahanan Harimau Selatan.

Dengan kemampuan teknikal, pengalaman dan fleksibiliti yang dimilikinya, Palmero dilihat mempunyai potensi untuk menjadi salah satu aset penting JDT dalam mengharungi saingan musim baharu.