Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia melihat aksi pramusim menentang Chelsea sebagai ujian terbesar pasukan itu sebelum musim 2026/27 bermula.
Legenda Liverpool itu berpandangan sedemikian kerana juara Piala Dunia Kelab itu menjanjikan cabaran berbeza buat anak buah Xisco Munoz.
Pada masa sama, Garcia melihat ini peluang JDT bersaing dengan kelab gergasi dunia seperti Chelsea di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
“Chelsea ialah ujian (pramusim) terbesar yang kita akan hadapi musim ini. Saya gembira untuk mengalu-alukan kehadiran mereka di Johor. Stadium (SSI) dijangka padat dengan penyokong.
“Kita tidak sabar untuk mencabar diri kita menentang sebuah kelab ternama, pemain-pemain berkualiti dan ia juga satu perkara hebat berdepan (Xabi) Alonso. Saya beri jaminan pada Ahad ini, kita akan bersaing,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.
Aksi ini juga cukup istimewa buat Garcia kerana dapat kembali bertemu dengan rakan lamanya, Xabi Alonso. Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada pasukan Liverpool yang menjulang Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada 2004/25.
Meskipun berharap Alonso dapat berjaya di Stamford Bridge, Garcia secara berseloroh berharap The Blues menamatkan musim di belakang Liverpool pada akhir musim ini.
“Saya ucapkan selamat berjaya kepada beliau (di Chelsea). Tapi walaupun saya sayang beliau, harapnya beliau menamatkan musim di tempat kedua di belakang Liverpool,” katanya.
JDT selesai menjalani program pramusim mereka di Sepanyol baru-baru ini. Sepanjang berada di Sepanyol, JDT merekodkan dua kemenangan, satu kekalahan dan lima keputusan seri.
Antara keputusan menarik yang dilakar ialah kejayaan JDT mengikat kelab gergasi Scotland, Rangers dan mengikat Qatar SC 2-2.