Kelantan Red Warrior FC (Kelantan RW FC) berjuang habis-habisan sebelum tewas kepada Pattani FC menerusi penentuan penalti dalam aksi persahabatan di Kota Bharu.
Aksi ini bukan saja peluang buat kedua-dua pasukan mengekalkan kecergasan sebelum saingan Liga Super dan Thai League 1 bersambung semula.
Malah, ini juga peluang buat Kelantan RW dan Pattani merebut hadiah wang tunai RM10,000 yang ditaja oleh ELRAH. ELRAH merupakan penaja rasmi buat kedua-dua pasukan musim ini.
Kelantan RW terlebih dahulu di hadapan menerusi Yuta seawal minit kedua. Ignacio Abeledo kemudiannya menyamakan kedudukan enam minit selepas itu.
Tuan rumah sekali lagi di hadapan menerusi Niam Mulhassan Alias pada minit ke-10. Igor Neves memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga rehat menerusi gol pada minit akhir babak pertama.
Kelantan RW dan Pattani berusaha mencari gol kemenangan pada separuh masa kedua tetapi tidak berhasil. Ini memaksa perlawanan diheret ke penentuan penalti untuk menentukan pemenang.
Pattani ceria apabila berjaya mengatasi Kelantan RW 4-3 menerusi penalti. Keputusan ini menyaksikan mereka meraih hadiah berjumlah RM10,000.


