Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan siri pra-musim di Sepanyol dengan cukup cemerlang selepas berjaya mengikat kelab utama Scotland, Rangers.
Keputusan seri 2-2 berjaya dicapai oleh JDT pada perlawanan pertama pra-musim di Sepanyol dengan Rangers yang beraksi dalam saingan divisyen 1 Scotland terpaksa akur dengan dua jaringan yang dihasilkan oleh Bergson.
Bergson tampil cemerlang dalam perlawanan kali ini apabila menyumbang dua gol penting pada minit ke-45 dan 49 untuk meletakkan skuad Harimau Selatan di hadapan 2-0 pada permulaan babak yang kedua mengatasi lawan.
Sungguhpun begitu, Rangers yang juga merupakan juara Scottish League Championship sebanyak 55 kali berjaya bangkit mengikat kedudukan 2-2 hasil penyudah Tochi Chukwuani yang meledak dua gol dalam tempoh 30 minit terakhir.
Aksi persahabatan di Pusat Bola Sepak Melia Villaitana berakhir dengan keputusan seri 2-2 dengan JDT dilihat mengambil peluang bagi menguji muka baharu seperti Brad Tapp, Kevin Medina, Shahab Zahedi dan Dejan Petrovic.
Selepas ini, JDT akan turun menentang kelab divisyen 1 Arab Saudic Al-Ettifaq dalam perlawanan kedua pra-musim di Sepanyol pada 19 Julai ini.