Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini menunggu keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung status kelayakan pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry, untuk mewakili skuad kebangsaan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Haji Rahman memaklumkan bahawa dokumen berkaitan pemain itu telah lengkap dan dikemukakan kepada FIFA untuk proses semakan serta kelulusan.
Perkara itu dikongsikan beliau ketika ditemui media pada majlis menandatangani kerjasama strategik antara FAM, Yes dan Ryt Bank yang berlangsung pada Khamis.
“Dokumen Sean Lowry sudah lengkap dan kita telah hantar kepada FIFA. Sekarang kita tunggu proses kelulusan FIFA dalam masa terdekat ini,” katanya.
Lowry sebelum ini dilaporkan masih belum menerima kelulusan FIFA untuk mewakili Harimau Malaya, manakala status Manuel Hidalgo turut melalui proses semakan sebelum pemain itu mendapat pengesahan kelayakan pada September lalu.
Pemain pertahanan kelahiran Australia itu menyertai JDT pada 2021 dan telah melengkapkan tempoh lima tahun menetap di Malaysia, sekali gus membuka laluan kepada proses naturalisasi untuk mendapatkan status pemain tempatan.
Status pendaftaran Lowry sebagai pemain tempatan dalam Liga Super bagaimanapun berbeza daripada kelulusan FIFA untuk mewakili pasukan kebangsaan.
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan FAM kini menunggu keputusan rasmi FIFA selepas dokumen berkaitan pemain berusia 37 tahun itu selesai disediakan dan dihantar untuk proses kelulusan.
Keputusan FIFA kelak akan menentukan sama ada Lowry boleh menyarung jersi Harimau Malaya dalam perlawanan antarabangsa, tertakluk kepada peraturan kelayakan yang ditetapkan badan induk bola sepak dunia itu.


