Bek tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Shane Lowry perlu menunggu lebih lama jika ingin mewakili Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Meskipun kini berstatus pemain tempatan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan status bek tengah berusia 37 tahun itu masih lagi disemak dan disahkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Badan induk bola sepak negara itu kini menunggu keputusan rasmi FIFA berhubung status graduan akademi Aston Villa itu.
FAM juga akan terus memberikan kerjasama dan mengemukakan segala maklumat serta dokumen yang diperlukan kepada FIFA berkaitan proses semakan berkenaan.
Selain Lowry, rakan sepasukan dan pemain sayap, Manuel Hidalgo juga berdepan situasi sama. Sementara Bergson da Silva dan Brad Tapp sudah mendapat lampu hijau untuk mewakili Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
Berita ini dilihat memberi kelegaan kepada peminat bola sepak negara berhubung status terbaru keempat-empat pemain itu. Ramai peminat berharap Hidalgo dan Lowry mengikut jejak Bergson dan Tapp sekali gus menyarung jersi Malaysia.
Lowry sudah merekodkan dua penampilan bersama Harimau Selatan musim ini. Beliau turut membantu JDT muncul juara Piala Sumbangsih pada Ogos lalu.