Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menjelaskan perkembangan terkini mengenai status kelayakan empat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dikaitkan dengan usaha memperkuatkan skuad Harimau Malaya.
Dalam satu kenyataan rasmi, FAM mengesahkan bahawa dua pemain JDT, Bergson da Silva dan Brad Tapp, telah mendapat pengesahan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia.
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin memaklumkan bahawa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengesahkan dua pemain Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Bergson da Silva dan Brad Tapp layak untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia.
“FAM menerima pengesahan tersebut selepas FIFA selesai membuat semakan terhadap status kelayakan kedua-dua pemain berkenaan berdasarkan peraturan dan peruntukan yang ditetapkan.”
Bagaimanapun, perkembangan berhubung Manuel Hidalgo dan Shane Lowry masih belum menemui titik noktah apabila kedua-dua pemain berkenaan masih menunggu keputusan rasmi daripada FIFA.
“Dalam pada itu, status dua lagi pemain JDT iaitu Manuel Hidalgo dan Shane Lowry masih dalam proses semakan serta pengesahan oleh FIFA dan FAM masih menunggu keputusan rasmi daripada badan induk bola sepak dunia tersebut.
“FAM akan terus memberikan kerjasama dan mengemukakan segala maklumat serta dokumen yang diperlukan kepada FIFA berkaitan proses semakan berkenaan.
“FAM akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut mengenai status Hidalgo dan Lowry selepas menerima pengesahan rasmi daripada FIFA,”
ujar FAM dalam satu kenyataan rasmi.
Justeru, status Hidalgo dan Lowry buat masa ini masih belum boleh dianggap muktamad sehingga FIFA mengeluarkan pengesahan rasmi berhubung kelayakan mereka untuk beraksi bersama Harimau Malaya.
Dengan Bergson dan Tapp sudah mendapat lampu hijau daripada FIFA, sekali gus berpotensi mendapat panggilan Harimau Malaya pada kempen FIFA ASEAN Cup 2026.
FAM dalam pada itu menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan FIFA dan akan mengumumkan perkembangan terkini sebaik sahaja menerima pengesahan rasmi.