Status empat pemain termasuk Bergson da Silva bersama Harimau Malaya masih menjadi tanda tanya.
Persoalan itu timbul hasil semakan di pangkalan data pertukaran persatuan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Pangkalan data ini menunjukkan perubahan nama persatuan yang kini diwakili seseorang pemain selepas bertukar kerakyatan.
Semakan di platform tersebut mendapati nama Bergson, Manuel Hidalgo, Brad Tapp dan Shane Lowry tiada dalam senarai terbaru pertukaran persatuan yang diluluskan FIFA.
Keempat-empat pemain kini berstatus pemain tempatan. Bergson, Hidalgo dan Lowry berstatus pemain naturalisasi dengan Tapp ialah pemain warisan.
Perkara ini disedari HarimauMYstats menerusi satu ciapan di X baru-baru ini. Dia merasa hairan mengapa belum ada kemas kini terbaru membabitkan kuartet tersebut.
Persoalan itu bersifat munasabah kerana dalam beberapa minggu saja lagi, saingan FIFA ASEAN Cup akan berlangsung. Jurulatih interima Malaysia, Tan Cheng Hoe bakal memanggil pemain menyertai kem latihan pusat pada 21 September ini.
Sehingga artikel ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung status keempat-empat pemain ini.
Jika kuartet tersebut tidak dapat dipanggil, Cheng Hoe dijangka memanggil barisan pemain yang ada untuk menghadapi kejohanan tersebut.
Pemain-pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam saingan ASEAN Hyundai Cup juga berpotensi dipanggil. Antaranya Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal dan G. Pavithran.