Legenda Argentina, Lionel Messi bakal melancarkan saman terhadap Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA).
Portal Clarin melaporkan Messi sedia mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap AFA dan presiden badan induk itu, Claudio Tapia. Tindakan itu bakal diambil selepas AFA dikesan mengeksploitasi imej beliau untuk tujuan komersial.
Messi dilaporkan marah kerana AFA membenarkan imejnya digunakan untuk iklan bir komersial sempena kempen Piala Dunia 2026. Hal ini menjejaskan beliau kerana Messi memiliki kontrak pengiktirafan jenama dengan sebuah syarikat dari Amerika Syarikat (US).
Situasi ini memaksa legenda Barcelona itu menjelaskan apa yang berlaku kepada para penaja. Hal ini turut menyebabkan hubungan Messi dan Tapia renggang.
Penyerang Inter Miami itu juga dilaporkan menjauhkan diri daripada Tapia dan AFA susulan siasatan kes jenayah komersial terhadap kedua-duanya yang dilancarkan di US dan Argentina.
Messi turut dilaporkan tidak berpuas hati dengan cara AFA mengendalikan majlis khas sempena persaraan dari arena bola sepak antarabangsa pada Oktober lalu.
Ini termasuk persembahan dron yang dilaporkan memaparkan imej beliau yang tidak tepat. Majlis penyampaian anugerah pula bukan dilakukan di atas padang tetapi di bilik persalinan selepas ramai penyokong Argentina mengejek Tapia.


