Penyerang Melaka FC, Kpah Sherman mencipta sensasi buat negara beliau, Liberia baru-baru ini.
Penyerang berusia 34 tahun itu membantu pasukan yang diberi jolokan The Lone Stars itu menewaskan Cape Verde dalam aksi terakhir kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2027.
Liberia sedar jika mereka tewas dalam aksi ini, peluang pasukan itu untuk layak ke AFCON akan tertutup. Justeru, jurulatih Liberia, Mohammed Adil Erradi mahu tuan rumah tampil agresif sejak sepak mula.
Kem Liberia ceria apabila Sherman meledakkan gol pembukaan pada minit ke-47. Pemain gantian, Sylvanus Nimely memastikan kemenangan milik tuan rumah dengan gol pada minit ke-86.
Keputusan ini menyaksikan Liberia kini di tangga ketiga Kumpulan K dengan tiga mata. Meskipun berkongsi mata sama dengan pasukan Piala Dunia itu, Liberia mengatasi Cape Verde dari segi kelebihan gol.
Kemenangan ini juga bakal menjadi tonik buat Sherman apabila kembali menyertai kem Melaka untuk mengharungi baki kempen Liga Super.
Melaka berharap dapat meneruskan rentak kemenangan apabila bertemu Star City FC pada 21 November ini.
Sebelum ini, anak buah E. Elavarasan berjaya mengalahkan Kuala Lumpur City (KL City FC) dan Penang FC dalam dua aksi terakhir mereka.


