Eropah

Vinicius Jr Anggap Aksi Brazil vs Singapura Ibarat Piala Dunia

Web 20261116 234710 0000 Vinicius Jr Anggap Aksi Brazil vs Singapura Ibarat Piala Dunia
CBF

Bintang Brazil, Vinicius Jr, menegaskan skuad Selecao tidak akan mengambil mudah aksi persahabatan menentang Singapura meskipun perlawanan itu sekadar sebahagian daripada persiapan mereka menjelang kejohanan akan datang.

Advertisement

Pemain sayap Real Madrid itu menyifatkan setiap perlawanan bersama pasukan kebangsaan mempunyai kepentingan tersendiri, malah perlu dihadapi dengan kesungguhan seperti aksi Piala Dunia.

“Bersama pasukan kebangsaan, perlawanan persahabatan membawa kepentingan seperti perlawanan Piala Dunia. Saya perlu memberikan yang terbaik, menjaringkan gol dan membantu pasukan meraih kemenangan,” katanya pada sidang media pra-perlawanan di Singapura, Ahad.

Brazil yang berada di ranking keenam dunia bakal berdepan Singapura, Selasa ini, dalam aksi kedua dan terakhir mereka bagi kejohanan Mizuho Blue Challenge – The Kallang Football Series Singapore di Stadium Nasional.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu hadir dengan misi bangkit selepas tewas 2-3 kepada Jepun dalam perlawanan terdahulu, meskipun Vinicius berjaya meledak dua gol untuk membantu Brazil menyamakan kedudukan selepas ketinggalan dua jaringan.

Mengulas kekalahan tersebut, pemain berusia 26 tahun itu mengakui kecewa dengan keputusan perlawanan, namun menegaskan pasukannya perlu segera memberikan tumpuan kepada cabaran seterusnya.

“Kami kecewa dengan keputusan dan beberapa keputusan pengadil, tetapi perkara itu bukan lagi bermain dalam fikiran kami. Tanggungjawab tetap terletak pada kami kerana kami sepatutnya mampu melakukan lebih banyak perkara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ancelotti mengesahkan Bruno Guimaraes bakal mengetuai Brazil sebagai kapten ketika menentang Singapura, manakala Rayan dijangka mengisi tempat Raphinha yang digantung perlawanan.

Ancelotti sendiri tidak akan berada di tepi padang susulan penggantungan, namun pengendali berusia 67 tahun itu tetap meletakkan harapan agar anak buahnya mempamerkan aksi berkualiti dan menghormati lawan.