Kelayakan Piala Asia B-17: Malaysia Jumpa India
MakanBola
FA Malaysia

Skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) akan berdepan cabaran India dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-17 2027.

Hal ini berlaku selepas cabutan undi kelayakan kejohanan itu di AFC House, Kuala Lumpur yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Khamis. Malaysia yang juga tuan rumah berada dalam Kumpulan E bersama India.

Selain dua pasukan itu, Palestin, Singapura dan Guam turut berada dalam kumpulan sama. Pusingan kelayakan Piala Asia B-17 akan berlangsung pada November ini.

Hanya juara kumpulan bagi setiap kumpulan saja yang layak ke Piala Asia B-17 2027 yang akan diadakan di negara Asia Tengah, Uzbekistan.

Setakat ini, sembilan pasukan sudah layak dengan Uzbekistan mara selaku tuan rumah. Qatar, Jepun, China, Australia, Vietnam, Korea Selatan, Arab Saudi dan Tajikistan juga turut layak ke edisi 2027.

Malaysia B-16 yang dibimbing Shukor Adan berharap dapat menjadikan pencapaian naib juara Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 sebagai batu loncatan untuk layak. Kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia B-17 ialah edisi 2023.