Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP), Datuk Ong Kim Swee tetap bangga dengan pencapaian yang dilakar skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) dalam Kejuaraan B-17 ASEAN 2026.
Ini kerana meskipun Malaysia terlepas peluang bergelar juara, ini dilihat satu pencapaian yang bagus buat skuad muda negara.
Ini kerana ini kali pertama Malaysia mara ke final sejak edisi 2019. Kim Swee turut melihat ini sebagai platform untuk menambah baik kualiti pasukan itu.
Beliau juga berpandangan pencapaian ini boleh dijadikan sebagai batu asas persiapan skuad muda Malaysia menjelang pusingan kelayakan Piala Asia B-17 pada November ini.
“Sungguhpun begitu, kejohanan ini memberikan satu platform yang berharga untuk merenung, menyemak dan menganalisis prestasi keseluruhan kita dengan cara yang membina.
“Kita sudah melihat komitmen padu staf kejurulatihan diketuai Shukor Adan dan kerja keras para pemain sepanjang kempen Kejuaraan B-17 ASEAN.
“Pada masa sama, hal ini menunjukkan masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan jika kita mahu tampil lebih bersedia untuk pusingan kelayakan Piala Asia B-17 pada November ini,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Kim Swee tetap positif dan melihat pembangunan setiap aspek pasukan penting. Ini sebahagian daripada strategi untuk menjadikan pengalaman tersebut sebagai langkah penting membangunkan generasi baharu pemain bola sepak negara.
Malaysia terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara Kejuaraan B-17 ASEAN apabila tewas 3-0 kepada Vietnam di pentas final.