Kejuaraan B-17 ASEAN: Vietnam Sekat Impian Juara Malaysia
MakanBola
FA Malaysia

Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) terlepas peluang bergelar juara Kejuaraan B-17 ASEAN apabila tewas kepada Vietnam di peringkat akhir.

Anak buah Shukor Adan berpeluang mengulangi kecemerlangan skuad muda negara dengan meraih trofi pada edisi 2019. Pada ketika itu, skuad muda Malaysia dibimbing bekas jurulatih PDRM FC, P. Maniam.

Adam Muqri Muhaizam terus diberi kepercayaan oleh Shukor untuk mengetuai skuad muda Malaysia menghadapi cabaran Vietnam.

Separuh masa pertama menyaksikan Vietnam berusaha mencari gol awal. Hal ini memaksa penjaga gol negara, Adam Nurfakrullah Mohd Fadli bekerja keras menangkis setiap percubaan.

Gawang Malaysia bocor pada minit ke-11 menerusi Dao Quy Vuong. Anak buah Shukor hampir menyamakan kedudukan sembilan minit selepas itu menerusi Nur Azam Muslim Nor Hisham.

Malangnya, percubaan penyerang beliau hanya melepasi bahagian tepi gawang Vietnam. Sebaliknya, Vietnam menggandakan kelebihan mereka menerusi Nguyen Van Duong pada minit akhir babak pertama.

Gol tersebut memastikan Vietnam mendahului 2-0 sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Malaysia kembali memperkemaskan rentak dengan harapan dapat mengurangkan defisit gol.

Malangnya, perkara itu tidak berlaku. Van Duong sekali lagi merobek gawang negara menerusi gol pada minit ke-55.

Malaysia cuba mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Vietnam bergelar juara buat kali pertama sejak edisi 2017.

Meskipun tewas, skuad muda negara patut berbangga kerana berjaya mengulangi pencapaian ke final yang dicapai pada edisi 2019.