Shopee Cup antara saingan yang bakal dijadikan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai medan menggilap bakat pemain-pemain muda yang sedang meningkat naik.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Luis Garcia melihat Shopee Cup dan Piala Malaysia bukan saja medan terbaik buat pasukan itu menggilap bakat pemain muda.
Malah, beliau melihat ini juga bakal membantu Harimau Selatan memberi saingan hebat lebih-lebih lagi dengan lima pertandingan yang diharungi musim ini.
“Selepas perbincangan antara pengurusan, jurulatih skuad senior dan jurulatih-jurulatih akademi, kelab telah membuat keputusan untuk memberi keutamaan kepada Liga Super Malaysia, Liga Juara-Juara AFC Elit dan Piala FA serta memastikan peluang diberikan kepada pemain junior dan simpanan beraksi di Piala Malaysia dan Piala Shopee.
“Ini akan memastikan pemain-pemain muda ini mendapat pengalaman dalam aksi domestik dan antarabangsa, selain membantu JDT mengharungi jadual melibatkan lima kejohanan skuad senior serta memastikan semua pemain berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi semua kejohanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Garcia sudah melihat beberapa pemain muda mula mengintai tempat dalam slot kesebelasan utama pasukan yang dibimbing Xisco Munoz itu. Salah seorang daripadanya ialah Daniesh Amirruddin.
Garcia melihat langkah mendedahkan pemain-pemain muda dengan saingan kompetitif seperti Shopee Cup dapat memberi manfaat besar kepada JDT untuk jangka masa panjang.
“Langkah ini akan memberikan pemain-pemain muda dan simpanan pengalaman bermain pada intensiti tinggi bersama skuad utama sekaligus menyediakan mereka untuk melakukan transisi ke skuad senior dan bantu menjamin masa hadapan mereka dalam kelab ini,” tambahnya.
Barisan bintang muda JDT sudah mula memperlihatkan kaliber mereka. Selain bergelar juara Piala Presiden selama empat tahun berturut-turut, JDT juga turut merangkul pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dalam acara bola sepak.