Skuad kebangsaan Yemen mencipta kejutan menjelang aksi bertemu Harimau Malaya.
Pasukan kendalian Noureddine Ould Ali mempamerkan prestasi cemerlang sejak beberapa aksi terakhir yang diharungi tahun ini.
Sungguhpun menduduki tangga ke-145 dunia, Yemen berjaya merakam kemenangan bergaya 5-2 ke atas Bahrain yang menghuni tangga ke-97 dunia pada aksi terakhir Kumpulan B, Gulf Cup 2026.
Yemen juga memberikan saingan terbaik kepada juara Piala Asia 2023, Qatar namuj terpaksa akur dengan kekalahan tipis 1-0, hasil jaringan Yusuf Abdurisaq.
Wakil Timur Tengah itu bagaimanapun berada pada momentum cemerlang, susulan kemaraan ke pentas Piala Asia 2027 selepas muncul juara Kumpulan B dengan 14 mata.
Menerusi kenyataan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Malaysia bakal bertemu Yemen bagi aksi kedua persahabatan antarabangsa Tier 1.
“Berdasarkan jadual baharu, Malaysia akan menentang China pada Sabtu, 14 November 2026, sebelum bertemu Yemen pada Selasa, 17 November 2026.
“Mengikut kemas kini terbaharu ranking FIFA, China menduduki tangga ke-96 dunia, Yemen tangga ke-144 dunia manakala Malaysia menghuni tangga ke-133 dunia.
“Perlawanan ini merupakan sebahagian daripada persiapan skuad kebangsaan dalam usaha mendapatkan pendedahan kompetitif di peringkat antarabangsa serta memperkukuh persediaan pasukan bagi menghadapi cabaran akan datang.”
Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe juga masih segar dengan kejayaan meraih tempat ketiga, Piala ASEAN FIFA 2026 selepas menewaskan Vietnam dengan keputusan 1-0.
Aksi antara Malaysia menentang Yemen dijadual pada 17 November di Stadium Tianhe, Guangzhou, China.