Tonggak import skuad futsal Selangor FC, Marlon Oliveira mengesahkan beliau akan kekal bersama pasukan itu pada musim hadapan.
Hal ini didedahkan bintang berusia 38 tahun itu apabila ditanya tentang statusnya bersama Merah Kuning selepas musim 2026.
“Saya masih ada baki kontrak setahun. Saya gembira berada di Selangor. Insya Allah, saya akan terus (bersama pasukan),” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Selepas menyertai Selangor musim ini, beliau membantu pasukan gergasi Lembah Klang itu muncul juara Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
Oliveira juga dipilih sebagai Pemain Terbaik MPFL musim 2026. Rakan sepasukan, Syahir Iqbal Khan Akbar Khan pula dipilih pemain terbaik perlawanan akhir kedua.


