UltraSukan

Selangor Juara MPFL, Kecewakan Pahang Rangers

Selangor Syahir Iqbal Selangor Juara MPFL, Kecewakan Pahang Rangers
MPFL
Advertisements

Selangor ditabalkan sebagai juara Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2026 selepas menewaskan Pahang Rangers 2-1 dalam masa tambahan susulan kemenangan 5-2 dalam aksi final kedua.

Kemenangan Selangor ke atas Pahang Rangers itu diperoleh dalam aksi penentuan masa tambahan selepas anak didik Edgar Baldasso berjaya menewaskan lawan 5-2 pada perlawanan timbal balik kedua.

Syahir Iqbal Khan meletakkan Selangor di hadapan selepas menyudahkan umpanan cantik dari Khairul Effendy untuk menewaskan Afiq Abdul Rahman di pintu gol Pahang Rangers pada minit ke-6.

Selang 4 minit kemudian, giliran Khairul Effendy pula menambah gol kedua buat tuan rumah hasil hantaran silang Evandro Borges sebelum Syahir Iqbal memastikan Selangor terus mendahului 3-0.

Kesilapan goleiro Pahang Rangers, Afiq Abdul Rahman membuka peluang keemasan buat Evandro Borges mencetak jaringan ke-4 buat pasukan Gergasi Merah menerusi percubaan dari luar kotak D.

Pahang Rangers kembali merapatkan jurang di penghujung babak pertama apabila Felipe de Souza berjaya menyumbat gol pertama hasil rembatan dari sudut yang kecil sehingga menembusi gawang Selangor.

Tiga minit bersambung babak kedua, Khairul Effendy melakar nama selaku penjaring buat kali kedua selepas cukup tenang menampan hantaran silang dari sebelah kiri oleh Evandro Borges.

Felipe de Souza sekali lagi menjadi penjaring gol buat Pahang Rangers apabila mesin gol kelahiran Brazil ini sempat meledak jaringan kedua pasukan pelawat pada penghujung permainan.

Kejayaan menundukkan Pahang Rangers 5-2 ini memaksa aksi final ini diheret ke masa tambahan selepas kedua-dua pasukan masing-masing memperoleh kemenangan di dalam perlawanan akhir ini.

Pada masa tambahan, Marlon Oliveira dan Syahir Iqbal Khan muncul wira Selangor apabila masing-masing meledak satu gol meskipun Pahang Rangers sempat menyamakan kedudukan di suatu ketika.

Keputusan akhir, Selangor menang 2-1 ke atas Pahang Rangers dalam masa tambahan untuk dinobat sebagai juara MPFL 2026.