Penyerang kebangsaan, Paulo Josue mengakui merasa hairan apabila mengetahui pasukan Bangladesh dibolosi sebanyak sembilan kali ketika menentang Indonesia baru-baru ini.
Hasrat Malaysia layak ke final FIFA ASEAN Cup selaku juara Kumpulan A musnah apabila dipintas Indonesia. Meskipun berkongsi tujuh mata, tuan rumah layak ke final dengan kelebihan jaringan.
Indonesia mara apabila membelasah Bangladesh 9-2 dalam satu lagi aksi kumpulan. Lebih menarik, dua gol Indonesia dijaringkan dalam masa tambahan separuh masa kedua.
Josue mengakui merasa pelik apabila mendengar berita Bangladesh dibolosi sebanyak sembilan kali dalam perlawanan itu. Pada masa sama, beliau melihat itu tidak mematahkan semangat Malaysia untuk memburu tempat ketiga kejohanan.
“Hari ini ialah perlawanan di mana kita kena menjaringkan gol dan memenangi perlawanan. Kita menjaringkan banyak gol tetapi malangnya, itu tidak cukup (untuk layak ke final).
“Nampaknya Indonesia menjaringkan sembilan gol. Anda tahu, amat sukar untuk percaya bahawa pihak lawan dibolosi sembilan kali dalam kejohanan sebegini tetapi kita kena terima.
“Jadi, kita kena bangkit dan hadapi perlawanan seterusnya dan cuba menamatkan (kejohanan) sebaik mungkin,” katanya selepas perlawanan.
Malaysia menutup kempen kumpulan dengan membelasah Singapura 6-0. Josue, Bergson da Silva, Stuart Wilkin dan Syahir Bashah masing-masing mencetak nama sebagai penjaring.