Persembahan cemerlang Bergson da Silva buat Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan A FIFA ASEAN Cup menentang Singapura mendapat undian tinggi peminat sebagai pemain terbaik perlawanan.
Semakan di platform Sofascore menunjukkan Bergson menjadi pilihan 57% pengunjung platform berkenaan. Rakan sepasukan, Arif Aiman Hanapi berada di belakang dengan 22%.
Bergson menjadi pilihan ramai penyokong kerana meledakkan hatrik ketika menentang The Lions. Selain menyempurnakan satu penalti pada separuh masa pertama, beliau turut menyumbat dua gol pada separuh masa kedua.
Bergson kini menjaringkan empat gol bersama Harimau Malaya sejak meraih penampilan pertama ketika menentang Bangladesh. Beliau juga penjaring terbanyak Malaysia dalam FIFA ASEAN Cup dengan jumlah gol sama.
Selain Bergson, Paulo Josue, Stuart Wilkin dan pemain tengah Selangor FC, Syahir Bashah turut mencetak nama sebagai penjaring dalam aksi tersebut.
Meskipun meraih kemenangan besar 6-0, itu tidak cukup untuk membawa Malaysia ke final sebagai juara Kumpulan A. Meskipun berkongsi tujuh mata dengan Indonesia, Tim Garuda layak ke final dengan kelebihan gol selepas membelasah Bangladesh 9-2.
Harimau Malaya kini menunggu keputusan akhir Kumpulan B untuk mengetahui lawan untuk aksi penentuan tempat ketiga FIFA ASEAN Cup.