Pelumbo Moto3 Malaysia, Hakim Danish Ramli terlepas peluang meraih podium dalam perlumbaan terbaru di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Hakim Danish terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas memulakan perlumbaan di tempat ketiga.
Posisi ketiga itu diraih dalam pusingan kelayakan yang berlangsung pada 31 Oktober lalu. Hakim Danish memulakan perlumbaan di barisan hadapan sekali gus mengulangi pencapaian mentor dan pengurus, Zulfahmi Khairuddin.
Zulfahmi meraih petak utama pada 2012 sebelum kemudiannya menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Hakim Danish berharap dapat mengulangi pencapaian mentornya bila bermula bersama Maximo Quiles yang menduduki tempat pertama dan Brian Uriarte (tempat kedua).
Sebaik perlumbaan bermula, Hakim Danish bernasib malang apabila dipintas Alvaro Carpe. Ini meletakkan beliau di tangga keempat.
Situasi kemudiannya berubah apabila Uriarte kehilangan posisi. Ini membuka ruang buat Carpe, Hakim Danish dan jaguh Indonesia, Veda Pratama mara ke hadapan.
Peminat permotoran di Sepang kemudiannya ceria apabila Pratama dan Hakim Danish masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Hal ini berlaku selepas kedua-dua pelumba berjaya memintas Carpe. Hakim Danish kemudiannya memintas Pratama untuk meraih kedudukan kedua.
Beliau kemudiannya bersaing sengit dengan jaguh Indonesia itu dan Carpe untuk merebut posisi podium. Pada akhirnya, Hakim Danish terpaksa berpuas hati di tempat keempat.
Quilmes muncul juara dengan Pratama dan Carpe masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.


