Aksi terakhir peringkat Kumpulan H kempen AFC Champions League 2 (ACL2) hari ini membabitkan pertembungan antara wakil Malaysia, Selangor FC dan wakil dari Filipina, DH Cebu FC.
Selangor turun dengan membarikan gandingan Alvin Fortes, Yohandry Orozco dan Ronnie Fernandez di bahagian serangan. DH Cebu pula hanya meletakkan Abou Sy berseorangan di bahagian serangan.
Di separuh masa pertama, Selangor FC berjaya mendapatkan satu jaringan menerusi Yohandry Orozco. Hantaran lintang daripada Alvin Fortes pada minit ke-44 permainan telah disambar Orozco dengan satu tandukan.
Bermula aksi di babak kedua perlawanan, Selangor terus garang dengan jaringan kedua sekali lagi menerusi Yohandry Orozco. Percubaan cantik Orozco gagal diselamatkan penjaga gol DH Cebu, Florencia Badelic.
Pada minit ke-57 permainan, rembatan deras Nooa dari luar kotak penalti meletakkan The Red Giants terus selesa dengan jaringan ketiga.
Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi menutup kemenangan di Stadium Memorial Rizal dengan jaringan keempat menerusi pemain sayap sensasi, Alvin Fortes. Gelecekan sebelum percubaan dari Alvin Fortes memastikan Selangor meraih kemenangan mengatasi DH Cebu dengan keputusan 4-0.
Dalam saingan peringkat kumpulan di ACL2, Selangor berjaya mendapat tiga kemenangan, satu seri dan mencatat dua kekalahan dengan 11 mata secara keseluruhan diraih pasukan.
Biarpun berjaya memenangi aksi hari ini, Selangor gagal layak ke pusingan seterusnya selepas menamatkan cabaran di kedudukan ketiga dalam saingan peringkat kumpulan.
Wakil Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai dan pasukan dari Thailand, Muangthong United layak ke pusingan kalah mati dalam kempen ACL2 2024-2025.