Kelab Cristiano Ronaldo, Almeria mengambil langkah membantu keluarga penyerang Tenerife, Jesus de Miguel.
Almeria memutuskan untuk mendermakan semua hasil jualan tiket pasukan itu ketika menentang Tenerife kepada keluarga penyerang berusia 30 tahun itu.
Inisiatif murni itu digerakkan oleh presiden kelab, Mohammed Al Khereiji sebagai tanda sokongan buat keluarga de Miguel.
Almeria turut menjemput keluarga penyerang itu sebagai tetamu untuk perlawanan kedua-dua pasukan itu. Ini antara inisiatif kelab LaLiga2 itu sebagai tanda solidariti bersama Tenerife dan keluarga mendiang.
“Kami sedar sepenuhnya bahawa tiada apa pun yang mampu menggantikan kehilangan insan tersayang, dan tiada bentuk sokongan—sama ada dari segi kewangan mahupun emosi—yang dapat meredakan kesedihan akibat tragedi sebegini,” kata kelab dalam satu kenyataan.
“Walau bagaimanapun, kami yakin bahawa bola sepak melangkaui sempadan padang permainan, dan nilai-nilai seperti belas kasihan, solidariti dan sokongan antara satu sama lain pada saat-saat sukar merupakan antara nilai terpenting yang menyatukan keluarga besar bola sepak.
“Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, UD Almería ingin menjemput keluarga pemain tersebut untuk hadir menyaksikan perlawanan ini sekiranya keadaan mengizinkan sebagai tanda sokongan ikhlas dan solidariti kami pada masa yang amat mencabar ini.”
De Miguel meninggal dunia akibat terjahan penjaga gol FC Andorra, Jesus Owono ketika aksi kedua-dua pasukan itu baru-baru ini.
Susulan itu, semua aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) mengadakan tafakur selama seminit. Arkitek Como, Nico Paz pula menayangkan baju yang memaparkan imej de Miguel ketika menentang Lens.
Pihak berkuasa Sepanyol kini melancarkan siasatan berhubung insiden berkenaan. Selain menyatakan solidariti bersama Tenerife, Andorra turut memberi sokongan kepada Owono.
Ronaldo menjadi pemegang saham Almeria selepas mengambil alih saham berjumlah 25% pada 2025. Sebelum itu, kelab itu dikuasai oleh kumpulan pelabur Arab Saudi sebelum disertai legenda Portugal itu.


