Kisah legenda bola sepak Kedah, Nelson San Martin, mengundang perhatian ramai selepas beliau didakwa melalui fasa paling sukar dalam hidup sehingga hampir mengambil tindakan menamatkan riwayat sendiri akibat tekanan kewangan yang ditanggung.
Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Ustaz Mohammad Yaakub Yusra menerusi perkongsian di Facebook. Menurut beliau, Nelson menangis ketika menceritakan keadaan dirinya yang mengalami tekanan dan kemurungan teruk selepas berdepan pelbagai masalah kehidupan.
Lebih menyayat hati, Nelson dikatakan menanggung tunggakan gaji hampir dua tahun sehingga menyebabkan anak dan isterinya terpaksa menumpang tinggal di rumah orang lain. Kegagalan menyediakan keperluan keluarga sebagai seorang ayah dan suami menjadi antara tekanan terbesar yang menghimpit dirinya.
“Sampai nak bunuh diri, nangis-nangis Nelson bercerita betapa tekanannya dia. Dua tahun tunggakan gaji. Anak dan isteri terpaksa lari tumpang duduk rumah orang lain. Gagal sediakan apa-apa sebagai ayah dan suami ni next level tekanannya.
“Bila nelson tunjuk bekas-bekas luka di tangan dia sebab cubaan bunuh diri, kita faham tekanan dia bukan main-main,” coret Ustaz Yaakub di laman Facebook.
Nelson sebelum ini bukanlah nama asing dalam bola sepak Kedah. Bekas pemain yang pernah membantu pasukan itu meraih enam kejuaraan tersebut memilih untuk datang ke Malaysia walaupun mempunyai banyak pilihan ketika berada di kemuncak kariernya, kerana mahu terus berbakti dan membantu perkembangan bola sepak tempatan.

Beberapa bulan lalu, pihak MADAD membantu Nelson selepas melalui fasa kehidupan sukar sehingga pernah menjadi gelandangan dan tidur di tepi jalan. Selepas dibantu, Nelson mula memberi khidmat melatih pelajar-pelajar bola sepak MADAD walaupun bayaran yang diterima ketika itu sangat kecil hasil kutipan daripada ibu bapa pelajar.
Walaupun MADAD sendiri masih berdepan cabaran kewangan, pihak berkenaan hanya mampu menyediakan tempat tinggal dan makanan buat Nelson. Namun, menurut Ustaz Yaakub, Nelson tidak banyak meminta dan menerima apa sahaja yang diberikan dengan penuh kesyukuran.
“MADAD pun tengah bergelut, tapi yang mampu bagi penginapan dan makan saja. Dia tak banyak kerenah. Makan apa saja benda yang ada,” luah Ustaz Yaakub lagi.
Bagi membantu Nelson membina semula kehidupannya, MADAD merancang membuka sebuah akademi bola sepak dengan sedikit bayaran yang hasilnya akan disalurkan kepada Nelson sebagai pendapatan bulanan. Dengan lesen kejurulatihan yang sah serta pengalaman luas dalam bola sepak, kepakaran beliau diharap dapat terus dimanfaatkan.
Ustaz Yaakub turut menyeru orang ramai supaya bersama-sama membantu Nelson yang kini kembali berdepan kesukaran, khususnya bagi membantunya menyokong keluarga di Pulau Pinang. Bantuan kecil daripada masyarakat diharap dapat memberi peluang kepada legenda Kedah itu untuk bangkit semula selepas melalui detik paling gelap dalam hidupnya.