Roberto Carlos Masuk Islam
MakanBola
NFL Espana

Legenda Brazil, Roberto Carlos dilaporkan telah memeluk Islam sejak empat minggu lalu.

Berita tersebut dikongsikan ahli politik Turkiye, Ali Sahin menerusi satu hantaran di X. Sahin memaklumkan beliau mengetahui cerita itu selepas bertemu dengan pemimpin komuniti Islam Brazil, Sheikh Jihad Hammadeh.

“Sheikh Jihad Hammadeh berkongsi berita baik bahawa Roberto Carlos, seorang tokoh legenda dalam dunia bola sepak dan Brazil yang juga memakai jersi Fenerbahçe, telah lama berhubung dengannya dan melawatnya empat minggu lalu untuk mengucapkan dua kalimah syahadah dan memeluk Islam.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Roberto Carlos atas keislamannya dan mendoakan agar beliau dan keluarganya menjalani kehidupan yang penuh dengan keamanan, kesihatan, dan kemakmuran,” katanya.

Satu laporan menyatakan Suhaila Al-Tahiri, seorang ejen bola sepak berdarah Maghribi-Lubnan memainkan peranan besar yang membawa kepada pengislaman legenda Real Madrid itu. Suhaila merupakan isteri kepada Carlos.

Sahin menjadi sebahagian daripada rombongan pegawai dan ahli parlimen Turkiye yang mengadakan kunjungan di beberapa negara Amerika Selatan sejak beberapa hari lalu.

Kunjungan tersebut bertujuan membantu mengeratkan hubungan Turkiye dengan negara-negara rantau berkenaan termasuk Brazil.