Arena bola sepak Sepanyol menerima berita sedih apabila penyerang Tenerife, Jesus de Miguel meninggal dunia.
Perkhabaran sedih itu dikongsikan Tenerife menerusi satu kenyataan di laman sesawang kelab LaLiga2 itu.
“Kami amat terkesan dengan kesedihan dan tidak mampu mempercayai perkara ini benar-benar berlaku, kami mengumumkan pemergian tragis Jesus de Miguel Alameda pada Selasa, 3 November 2026 pada jam 8.00 pagi.
“Tiada kata yang dapat memberikan ketenangan. Kami berdiri bersama keluarga beliau, orang tersayang dan seluruh komuniti CD Tenerife.
“Keluarga Jesus mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diterima dan memohon privasi mereka dihormati buat masa ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Nama de Miguel menjadi bualan peminat bola sepak dunia susulan insiden dada beliau terkena kaki penjaga gol, Jesus Owono. Insiden itu berlaku dalam aksi LaLiga2 antara Tenerife dan FC Andorra baru-baru ini.
Susulan itu, penyerang berusia 30 tahun itu menerima rawatan di atas padang sebelum dikejarkan ke hospital. Semasa dibawa ke hospital, de Miguel turut ditimpa sakit jantung sebelum distabilkan pasukan perubatan.
Pengadil kemudiannya memutuskan untuk membatalkan aksi berkenaan. Semua pemain Tenerife kemudiannya ke hospital untuk memberi sokongan kepada rakan sepasukan mereka itu.


