Beberapa senario menarik andai Malaysia berjaya menewaskan Bangladesh dalam perlawanan pertama FIFA ASEAN Cup 2026.
Kejohanan FIFA ASEAN Cup edisi pertama bakal menyaksikan perlawanan Bangladesh vs Malaysia menjadi antara tumpuan ramai ketika mana kedua-dua pasukan akan turun membawa misi penting untuk meraih 3 mata dalam aksi ini.
Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe sudah tentunya enggan melepaskan peluang terbaik untuk membuka kempen FIFA ASEAN Cup dengan kemenangan ketika mana 23 tonggak terbaik menjadi sandaran negara di Jakarta.
Kemenangan bakal menghadiahkan 3 mata penting untuk Malaysia dalam misi memudahkan perjalanan skuad negara ke pusingan seterusnya tatkala dua aksi getir bakal menanti Harimau Malaya selepas bertemu Bangladesh ini.
Oleh itu, 3 mata pastinya menjadi sasaran utama pasukan kebangsaan pada petang ini untuk memastikan kedudukan terbaik dalam carta Kumpulan A, yang mana turut dihuni dua negara jiran, Indonesia selaku tuan rumah serta Singapura.
Format unik di FIFA ASEAN Cup kali ini menyaksikan juara Kumpulan A dan B bakal terus melayakkan diri ke pentas final, manakala dua naib juara kumpulan akan bersaing di perlawanan penentuan tempat ketiga pada Isnin, 5 September.
Selain 3 mata, pasukan negara turut berpeluang untuk mengutip tambahan mata ranking +3.30 seandainya berhasil merealisasikan misi menewaskan Bangladesh yang kini berada di kedudukan ke-181 dunia dalam carta FIFA.
Tambahan mata ranking itu bagaimanapun tidak akan mengubah kedudukan Malaysia di tangga ke-136 dunia secara drastik, namun kutipan mata secara konsisten cukup penting untuk membantu melonjakkan ranking negara pada masa akan datang.
Perlawanan Bangladesh vs Malaysia bakal berlangsung pada Jumaat, 25 September dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 5 petang dan dapat disaksikan secara langsung di siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).