Reaksi pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Nacho Mendez setelah tidak dipanggil bagi memperkuat Harimau Malaya di FIFA ASEAN Cup.
Nama Nacho Mendez antara yang tidak dipanggil dalam senarai 23 pemain Harimau Malaya ke kejohanan FIFA ASEAN Cup 2026 di Indonesia meski pun pemain tengah ini didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia.
Laporan terdahulu oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam turut memaklumkan bahawa Nacho Mendez berpotensi untuk membarisi pasukan negara selepas difahamkan beliau memiliki pertalian darah dengan Malaysia melalui datuknya.
Persoalan tentang ketiadaan namanya itu akhirnya terjawab apabila Nacho Mendez turut tidak mengetahui mengapa beliau tidak dipanggil oleh Tan Cheng Hoe untuk mewakili Malaysia di kejohanan FIFA ASEAN Cup kali ini.
Beliau berkata, fokusnya kini hanya memberikan aksi terbaik bersama JDT dan memperoleh rehat secukupnya bagi menghadapi perlawanan yang akan datang ketika mana bukan tugasnya untuk menentukan pemain yang layak dipanggil.
“Bukan tugas saya untuk menentukan (pemilihan pemain Harimau Malaya). Sekarang, banyak perlawanan bersama JDT pada musim ini, jadi saya cuma fokus tentang itu,” jawab Nacho Mendez.
“Amat penting untuk saya mendapatkan rehat secukupnya, luangkan masa bersama keluarga serta memperoleh tenaga yang penuh untuk menghadapi Liga Juara-Juara Asia dan perlawanan seterusnya,”
“Saya juga tidak tahu (kenapa tak dipanggil). Seperti yang saya katakan, ini bukan tugas saya bagi menentukannya,” jawabnya ringkas kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.
Sebagai rekod, Nacho Mendez sudah beraksi sebanyak 9 kali bersama JDT musim ini dan berjaya merekodkan dua bantuan gol, bagi membantu skuad Harimau Selatan menerajui carta Liga Super serta mara ke suku akhir Piala FA.
Kelibat Nacho Mendez juga berjaya membantu JDT mengutip mata dalam perlawanan pertama AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini ketika terikat seri 1-1 menentang Buriram United beberapa minggu lalu.