Piala FA

Piala FA: Eduardo Sosa Pacu Selangor Kalahkan Kuching City

Sousa Ryan Kuching City Selangor FC Piala FA: Eduardo Sosa Pacu Selangor Kalahkan Kuching City
Selangor FC
Advertisements

Selangor FC bangkit dari ketinggalan sebelum menewaskan Kuching City FC menerusi dua gol Eduardo Sosa dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA.

Aksi ini bukan saja peluang buat kedua-dua pasukan mencari bekalan untuk aksi timbal balik. Malah, ini juga peluang buat Selangor membalas dendam selepas disingkirkan lawan sama dalam Piala Malaysia musim lalu.

Chrigor Moraes menjadi sandaran gol The Red Giants. Safawi Rasid, Jerome Mpacko Etame dan Ramadhan Saifullah Usman mengetuai serangan Kuching City.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol awal. Pelawat terlebih dahulu di hadapan menerusi gol Ramadhan pada minit kesembilan.

Selepas membuat larian solo ke arah benteng Selangor, pemain sayap kebangsaan itu tidak berdepan masalah menewaskan Sikh Izhan Nazrel.

Keceriaan kem Kuching City hanya bertahan selama 10 minit. Bekas pemain tengah Star City FC, Sosa menceriakan penyokong Selangor dengan meledakkan gol penyamaan.

Kedua-dua pasukan berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus berusaha mencari gol tambahan.

Tatkala Kuching City terus mengintai peluang mencari gol, Sosa sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada pelawat pada minit ke-58.

Beliau menyudahkan hantaran Chrigor yang menewaskan penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli. Sosa kemudiannya digantikan dengan Kay Tejan selepas mengadu merasa tidak selesa pada bahagian hamstring.

Pemain gantian, Dylan Wenzel-Halls hampir meraih gol penyamaan pada minit ke-88. Malangnya, percubaan bekas penyerang Penang FC itu dinafikan Sikh Izhan.

Selangor terus mempertahankan kelebihan satu gol mereka sehingga wisel penamat. Selepas ini, kedua-dua pasukan akan kembali berentap di Kuching untuk aksi timbal balik pada 8 November ini.