Piala FA

Aidil Sharin Ingatkan Kuching City Ancaman Selangor

Aidil Kuching City FC 15 Aidil Sharin Ingatkan Kuching City Ancaman Selangor
Kuching City FC
Advertisements

Jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak mengingatkan anak buahnya untuk memberikan aksi terbaik jika ingin mendapatkan keputusan positif menentang Selangor FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA.

Aidil berpandangan sedemikian kerana Selangor bukan saja memiliki kelebihan beraksi di Stadium MBPJ. Malah, pasukan yang dibimbing Kim Pan-gon itu juga memiliki ramai pemain hebat.

Antara pemain Selangor yang dilihat mampu mengancam The Cats ialah Chrigor Moraes, Syahir Bashah dan Safuwan Baharudin.

“Saya rasa semua orang tahu kekuatan Selangor terutama Chrigor Moraes. Saya juga perasan mereka memiliki ramai pemain tempatan yang bagus seperti Syahir yang makin menyerlah, pemain berkualiti.

“Dan juga menerusi (ancaman) sepakan percuma seperti Safuwan. Beliau cukup bagus dalam situasi sepakan sudut dan sepakan percuma.

“Ini satu perkara kita kena perhati dalam perlawanan esok (hari ini),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

Aksi ini dilihat peluang buat Kuching City untuk bangkit selepas hanya menang sekali dalam enam aksi terakhir mereka. Ini termasuk diikat kelab Hong Kong, Kitchee dalam aksi terbaru Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Kedua-dua pasukan memburu keputusan positif di Stadium MBPJ sebagai bekalan untuk aksi timbal balik di Kuching, Sarawak pada 8 November ini.