ACL2: Kuching City ‘Hukum’ Kitchee
MakanBola
Kitchee SC

Hasrat Kuching City FC untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2) tidak menjadi kenyataan selepas diikat kelab Hong Kong, Kitchee SC dalam aksi penuh debaran di Stadium Taha Ariffin sebentar tadi.

Kuching City kendalian Aidil Sharin menurunkan barisan terbaik dengan mempertaruhkan Ajdin Mujagic dan Jerome Etame di jentera serangan. Kitchee juga tidak kurang hebatnya apabila diperkuatkan bekas pemain Real Madrid, Asier Illarramendi yang mengemudi jentera tengah pasukan.

Kuching City tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila mendahului seawal minit kedua. Kesilapan penjaga gol Kitchee yang gagal mengawal hantaran daripada rakan sepasukan dengan kemas menyaksikan bola bergolek masuk ke dalam gawang sendiri, sekali gus memberikan kelebihan 1-0 buat Kuching City.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kitchee mula menggandakan asakan ke kubu Kuching City bagi mendapatkan jaringan penyamaan.

Usaha Kitchee akhirnya membuahkan hasil apabila Everton Camargo meledak gol penyamaan pada minit ke-14 menerusi rembatan kencang kaki kiri yang gagal diselamatkan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli. Jaringan itu menyaksikan kedudukan kembali terikat 1-1.

Selepas jaringan tersebut, perlawanan menjadi semakin rancak dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan bagi mendapatkan jaringan seterusnya.

Ajdin Mujagic berpeluang untuk kembali meletakkan Kuching City di hadapan menerusi beberapa peluang keemasan, namun percubaannya gagal membuahkan hasil apabila terperangkap ofsaid dan penyudahnya kurang tepat.

Biarpun kedua-dua pasukan saling menyerang namun kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, Kuching City hampir kembali mendahului pada minit ke-49 menerusi Petrus Shitembi. Namun, percubaan jarak dekat pemain kebangsaan Namibia itu berjaya dinafikan penjaga gol Kitchee, Pong Cheuk Hai.

Pada minit ke-69, Mujagic mempunyai peluang keemasan untuk menjaringkan gol melalui tandukan, namun sedikit tersasar ke kiri gawang Kitchee.

Kedua-dua pasukan terus melancarkan serangan dalam usaha mencari gol kemenangan, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan. Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga wisel penamat, menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata.

Untuk aksi seterusnya, Kuching City bakal terbang ke Korea Selatan untuk aksi bertemu Gangwon FC pada 29 Oktober ini manakala Kitchee pula bakal bertemu Phnom Penh Crown pada tarikh yang sama.