Seorang legenda Piala Dunia, seorang pemburu trofi dari Australia dan seorang arkitek yang pernah menguasai bola sepak Asia Tenggara. Tiga nama besar Asia ini muncul sebagai calon berpotensi untuk mengemudi Harimau Malaya.
Persoalannya, siapa paling layak membawa skuad negara ke pentas Kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2032?
Harimau Malaya baru menamatkan saingan FIFA ASEAN Cup 2026 tanpa tewas dan tanpa bolos sebarang gol. Namun begitu, skuad negara terlepas peluang ke final walaupun membelasah Singapura 6-0, kerana Indonesia mara atas kelebihan jumlah jaringan, 11 gol berbanding sembilan.
Kempen itu ditutup dengan kemenangan dalam aksi penentuan tempat ketiga menentang Vietnam. Pasukan bagaimana masih di bawah ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe, yang dilantik pada Jun bagi menggantikan Peter Cklamovski.
FAM kini perlu menentukan hala tuju jangka panjang skuad kebangsaan.
Calon pertama ialah Hong Myung-bo, kapten Korea Selatan ketika negara itu mara ke separuh akhir Piala Dunia 2002. Beliau kini tanpa pasukan selepas meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Korea Selatan, sehari selepas pasukan itu tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia 2026.
Sebagai jurulatih, beliau membawa Korea meraih pingat gangsa Olimpik London 2012. Beliau juga menjulang dua kejuaraan K League 1 bersama Ulsan HD pada 2022 dan 2023.
Sepanjang dua tempoh bersama Korea, beliau mencatat 20 menang, 9 seri dan 16 kalah daripada 45 perlawanan. Kedua-dua kempen Piala Dunianya pada 2014 dan 2026 juga berakhir di peringkat kumpulan. Kelebihannya ialah pengalaman dua edisi Piala Dunia serta pengaruh besar dalam bola sepak Asia.
Calon kedua ialah Kevin Muscat, bekas pertahanan Socceroos yang kini antara jurulatih paling berjaya di Asia. Beliau masih bersama Shanghai Port, tetapi kontraknya tamat pada 31 Disember 2026. Jurulatih kelahiran Crawley, England itu telah mengendalikan 419 perlawanan dengan 218 kemenangan dan 117 kekalahan.
Pengendali berusia 53 tahun itu memiliki koleksi trofi yang sukar ditandingi. Beliau memenangi treble bersama Melbourne Victory pada musim 2014/15, menjuarai J1 League bersama Yokohama F. Marinos pada 2022 dan membawa Shanghai Port meraih double Liga Super dan Piala FA China.
Bekas pemain Millwall itu tidak pernah mengendalikan pasukan kebangsaan, dan pernah dikaitkan dengan kelab Eropah seperti Rangers.
Calon ketiga ialah Masatada Ishii, jurulatih Jepun yang membawa Kashima Antlers menjuarai J1 League dan ke final Piala Dunia Kelab FIFA pada 2016. Beliau kemudian menjulang gelaran Liga Perdana Thailand bersama Buriram United pada 2022 dan 2023.
Bersama skuad Gajah Perang, beliau mencatat 16 kemenangan daripada 30 perlawanan dan memenangi Piala King’s 2024. Beliau juga mencuri hasil seri 1-1 di Seoul menentang Korea Selatan.
Ketiga-tiga calon menawarkan pakej berbeza: aura Piala Dunia, mentaliti juara dan kefahaman mendalam tentang bola sepak serantau.
FAM boleh mempertaruhkan nama besar untuk misi 2030 dan 2032, atau mengekalkan kesinambungan bersama Tan Cheng Hoe yang tidak tewas di FIFA ASEAN Cup tatkala belum ada pengesahan rasmi berhubung status pengganti jurulatih skuad kebangsaan.


