Pengendali Bayern Munich, Vincent Kompany mencetuskan kebimbangan selepas rebah ketika berada di pusat latihan kelab itu pada Jumaat.
Insiden tersebut berlaku ketika pengendali dari Belgium itu memantau sesi latihan pasukan kedua Bayern Munich selepas sesi latihan skuad utama.
Menerusi satu kenyataan rasmi, Bayern mengesahkan Kompany telah mendapatkan rawatan perubatan selepas kejadian tersebut.
“Vincent Kompany terpaksa mendapatkan rawatan perubatan pada Jumaat selepas rebah ketika sesi latihan pasukan kedua FC Bayern. Ketua jurulatih pasukan utama itu sedang memantau sesi latihan pasukan kedua,” menurut kenyataan kelab.
Bayern turut memaklumkan bahawa Kompany akan menjalani pemeriksaan menyeluruh di hospital dan kekal di bawah pengawasan perubatan buat masa ini.
Sehubungan itu, barisan kejurulatihannya akan mengambil alih tugas mengendalikan sesi latihan serta urusan perlawanan sehingga dimaklumkan kelak.
Pengarah Sukan Bayern, Max Eberl menegaskan bahawa kesihatan Kompany menjadi keutamaan kelab ketika pengendali berusia 40 tahun itu menerima rawatan.
“Kesihatan Vincent Kompany merupakan keutamaan tertinggi kami. Bayern Munich akan melakukan segala yang termampu bagi memastikan beliau pulih dengan segera,” kata Eberl.
Beliau turut menjelaskan bahawa Kompany akan menerima segala rawatan dan sokongan yang diperlukan, selain diberikan masa secukupnya untuk pulih.
Dalam masa sama, Eberl menyatakan keyakinan terhadap barisan kejurulatihan Kompany yang akan mengambil alih tanggungjawab buat sementara waktu.
Bayern Munich turut menyampaikan ucapan agar pengendali itu segera pulih, namun punca sebenar kejadian tersebut belum diperincikan dalam kenyataan rasmi kelab.
Insiden itu hadir menjelang aksi Bundesliga menentang Freiburg pada Ahad, dengan barisan kejurulatihan Kompany dijadualkan menguruskan pasukan buat sementara waktu.


