UCL: 9 Gol Hiasi Kemenangan PSG Ke Atas Bayern Munich
MakanBola
PSG

PSG dan Bayern Munich tampil cukup hebat sebelum kelab Perancis itu meraih kemenangan dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Pertembungan separuh akhir UCL ini menyaksikan kelebihan beraksi di laman sendiri dimanfaatkan sepenuhnya oleh PSG untuk membawa bekalan satu gol selepas mengatasi Bayern Munich 5-4.

Gandingan Harry Kane, Michael Olise dan Luis Diaz menjadi sandaran Bayern Munich di jentera serangan manakala PSG menurunkan Ousmane Dembele sebagai penyerang tunggal pada aksi ini.

Harry Kane membuka tirai jaringan buat Bayern Munich pada minit ke-17 permainan apabila dengan mudah menyudahkan tendangan penalti setelah Luis Diaz dikasari oleh pertahanan PSG, Wilian Pacho.

Kelebihan tersebut hanya bertahan selama 7 minit sebelum Khvicha Kvaratskhelia menyamakan kedudukan untuk PSG hasil percubaan dari sayap kiri yang terus menerjah gawang pasukan pelawat.

Pintu gol Bayern Munich bocor lagi pada minit ke-33 selepas sepakan sudut Ousmane Dembele ditanduk oleh Joao Neves sekali gus menewaskan Manuel Neuer buat kali kedua dalam tempoh 9 minit.

Kedudukan kembali terikat 2-2 selepas gerakan solo Michael Olise disudahkan dengan satu rembatan kencang yang gagal untuk dinafikan oleh penjaga gol, Matvey Safonov pada minit ke-41.

PSG kembali ke bilik persalinan dengan kelebihan satu gol selepas Ousmane Dembele menyempurnakan tendangan penalti buat pasukan tuan rumah sebelum babak pertama berakhir.

Anak didik Luis Enrique makin garang di babak yang kedua ketika mana Khvicha Kvaratskhelia dan Ousmane Dembele masing-masing mencetak gol di minit ke-56 dan 59 untuk PSG bertambah selesa.

Enggan mengalah, Bayern Munich berjaya merapatkan jurang pada minit ke-65 selepas tandukan bebas Dayot Upamecano memberikan harapan buat kelab gergasi Bundesliga ini untuk bangkit.

Harapan itu tampak makin cerah apabila giliran Luis Diaz pula meledak gol ke-4 buat Bayern Munich 3 minit kemudian hasil lambungan tepat oleh Harry Kane yang jatuh ke kaki bintang Colombia itu.

Aksi separuh akhir pertama di Parc des Princes ini berakhir dengan keputusan 5-4 buat PSG tatkala perlawanan timbal balik dijadualkan berlangsung pada 7 Mei hadapan di Allianz Arena.