UEFA Champions League

UCL: Liverpool Malu Besar, Real Madrid Sempat Cemas

Liverpool Fenerbahce Real Madrid UCL: Liverpool Malu Besar, Real Madrid Sempat Cemas
LFC/RMFC
Advertisements

Dua gergasi bola sepak Eropah, Liverpool dan Real Madrid melalui nasib berbeza apabila masing-masing turun beraksi dalam saingan UEFA Champions League (UCL) pada awal pagi Khamis.

Liverpool terpaksa menelan kekalahan 2-3 ketika bertandang ke gelanggang Fenerbahçe, manakala Real Madrid pula berjaya membawa pulang tiga mata selepas menewaskan AEK Athens dengan keputusan sama di Greece.

Beraksi di Stadium Şükrü Saracoğlu, Liverpool terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain muda, Trey Nyoni pada minit ke-25 untuk memberikan kelebihan buat pasukan pelawat.

Bagaimanapun, Fenerbahçe tidak menunggu lama untuk memberikan tindak balas apabila Mason Greenwood menyamakan kedudukan empat minit kemudian menerusi sepakan percuma yang terkena pemain pertahanan sebelum menerjah gawang Liverpool.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat babak pertama sebelum Alexander Isak kembali meletakkan Liverpool di hadapan pada minit ke-69 selepas masuk sebagai pemain gantian.

Namun, kelebihan tersebut hanya bertahan selama empat minit apabila Brown menyamakan kedudukan buat Fenerbahçe sebelum Vedat Muriqi melengkapkan kebangkitan pasukan tuan rumah menerusi jaringan pada minit ke-79.

Keputusan 3-2 itu kekal sehingga wisel penamat sekali gus menyaksikan Liverpool pulang tanpa sebarang mata selepas gagal mempertahankan kelebihan yang dimiliki sebanyak dua kali.

Sementara itu, Real Madrid turut berdepan cabaran getir ketika mengunjungi AEK Athens apabila tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Aboubakary Koïta pada minit ke-12.

Jude Bellingham kemudian mengembalikan kedudukan seimbang buat Real Madrid pada minit ke-32 menerusi penyudah menarik sebelum kedua-dua pasukan menamatkan babak pertama dengan keputusan 1-1.

Memasuki separuh masa kedua, AEK Athens sekali lagi mengejutkan pasukan pelawat apabila Pilios meledak gol pada minit ke-75 untuk memberikan kelebihan 2-1 kepada wakil Greece itu.

Bagaimanapun, Kylian Mbappe hanya memerlukan tiga minit untuk menyamakan kedudukan buat Real Madrid sebelum Federico Valverde muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-90+2.

Kemenangan 3-2 itu menyaksikan Real Madrid mengekalkan rekod kemenangan sempurna selepas mengumpul 12 mata daripada empat perlawanan dalam fasa liga UCL.