UCL: Senarai Penuh & Jadual 4 Pasukan Di Separuh Akhir
MakanBola
UEFA Champions League

Pentas separuh akhir UEFA Champions League (UCL) akan menyaksikan 4 pasukan terbaik turun merebut tiket ke final pada bulan Mei hadapan.

Pusingan suku akhir UCL baru sahaja menutup tirai dengan 4 daripada 8 kelab berjaya muncul selaku pemenang sekali gus mengesahkan slot ke aksi separuh akhir bermula penghujung April ini.

Jaguh LaLiga, Barcelona terpaksa ucapkan selamat tinggal kepada saingan UCL musim ini selepas tersingkir di tangan pasukan senegara, Atletico Madrid dengan keputusan 3-2 secara agregat.

Nasib sama dilalui oleh seteru utama Barcelona, Real Madrid yang turut tersingkir dari pentas Eropah selepas tumbang 6-4 secara agregat kepada Bayern Munich hasil dua jaringan di penghujung aksi.

Juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) tampil memukau selepas sekali lagi mengalahkan wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Liverpool 2-0 dalam kedua-dua aksi timbal balik suku akhir ini.

Kedukaan peminat EPL sedikit terubat hasil kejayaan Arsenal melangkah ke separuh akhir UCL apabila mengatasi Sporting Lisbon 1-0 selepas kedua-dua kelab ini terikat seri 0-0 dalam aksi timbal balik kedua.

Aksi separuh akhir UCL dijadualkan bermula pada 29 dan 30 April ini dengan PSG bakal menanti kehadiran Bayern Munich terlebih dahulu sementara Arsenal akan terbang ke Sepanyol untuk bertemu Atletico Madrid.

Perlawanan timbal balik pada 6 Mei pula bakal menyaksikan Atletico Madrid hadir ke laman Arsenal di Stadium Emirates sementara Bayern Munich menerima kunjungan PSG sehari kemudian.