PSG menghadiahkan kekalahan pertama buat Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini setelah merekodkan kemenangan pada awal pagi Rabu.
Rekod sempurna PSG di pentas UCL berterusan lagi dengan Barcelona pula menjadi ‘mangsa’ anak-anak didik Luis Enrique hasil kemenangan 4-2 yang dilakar walaupun jaguh Sepanyol itu sempat memberi cabaran hebat kepada juara bertahan itu.
Kesebelasan terbaik menjadi taruhan kedua-dua pasukan dengan Ousmane Dembele dan Desire Doue memikul tugasan besar di jentera serangan PSG manakala Barcelona menurunkan gandingan Lamine Yamal serta Raphinha.
Gol pembukaan berjaya dihasilkan Desire Doue pada minit ke-38, selepas kegagalan Lamine Yamal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hingga membuka ruang buat pemain sayap Perancis itu meletakkan PSG di depan 1-0.
Babak kedua bermula positif buat kem Barcelona apabila bek kanan, Xavi Espart berhasil menyamakan kedudukan 1-1, selang 10 minit setelah rehat menerusi larian deras yang disudahkan dengan rembatan kencang ke arah gawang PSG.
Tuan rumah kembali di hadapan pada minit ke-72, selepas sepakan penjuru Desire Doue ditanduk oleh Lucas Hernandez bagi menewaskan penjaga gol Barcelona, Joan Garcia buat kali yang kedua pada perlawanan tumpuan ini.
7 minit kemudian, Barcelona sekali lagi menyamakan kedudukan setelah percubaan dari jarak dekat oleh Lamine Yamal berhasil menembusi pintu gawang PSG untuk kembali menceriakan kem pelawat yang dikendalikan Hansi Flick.
Kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila PSG cemerlang menjaringkan gol ke-3 selang dua minit kemudian, menerusi satu rembatan dari luar kotak oleh pemain tengah, Vitinha yang gagal untuk diselamatkan Joan Garcia di hadapan gawang.
Fabian Ruiz melengkapkan kejayaan gemilang buat PSG di hadapan ribuan penonton sendiri, apabila tonggak tengah Sepanyol itu menampan hantaran lintang Achraf Hakimi bagi memberikan jaringan ke-4 untuk kelab gergasi Perancis itu.
Pertarungan 90 minit di Parc de Princess berakhir dengan keputusan 4-2 memihak PSG.