Malaysia Umum 26 Pemain Ke ASEAN Hyundai Cup
MakanBola
Malaysia NT

26 pemain menjadi pilihan jurulatih interim Malaysia, Tan Cheng Hoe untuk membawa cabaran di pentas ASEAN Hyundai Cup.

Ini selepas senarai 26 pemain ke kejohanan itu diumumkan pengurusan Harimau Malaya di semua platform rasmi.

Seperti dijangka, nama-nama besar seperti Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Shahrul Saad, Nooa Laine, Nazmi Faiz Mansor, Safawi Rasid dan Dion Cools tiada dalam skuad kali ini.

Meskipun begitu, kelibat tonggak berpengalaman seperti Paulo Josue, Azri Ghani, Endrick dos Santos, Mohamadou Sumareh, Dominic Tan dan Syafiq Ahmad terus ditagih Cheng Hoe.

Beberapa pemain kembali diberi peluang membarisi Harimau Malaya. Antaranya penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim, V. Ruventhiran (Melaka FC) dan Engku Nur Shakir Engku Yacob.

Lebih menarik, beberapa pemain yang berpangkalan di luar negara turut terpilih dalam skuad kali ini. Ini termasuk pemain tengah Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal dan pemain Ross County, Richard Chin.

Pemain baharu Terengganu, Danial Amier Norhisham mengetuai senarai sembilan pemain dalam senarai bersedia. Ini sebagai persiapan sekiranya ada pemain yang terpaksa menarik diri atas sebab seperti kecederaan.

Kesemua pemain akan mula berlatih untuk kem latihan pusat bermula pada 15 Julai ini.

Malaysia akan membuka kempen Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup dengan menentang Myanmar pada 25 Julai. Aksi tersebut turut menyaksikan bekas jurulatih Hong Kong, Jorn Andersen bakal membuat penampilan pertama dalam kejohanan itu sebagai jurulatih Myanmar.