Lawan Malaysia, Myanmar Lantik Bekas Jurulatih Bundesliga
MakanBola
FA Malaysia

Lawan Malaysia dalam Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026, Myanmar memilih bekas jurulatih Bundesliga sebagai jurulatih baharu pasukan itu.

Jurulatih yang dimaksudkan ialah bekas jurulatih Hong Kong, Jorn Andersen. Persekutuan Bola Sepak Myanmar (MFF) memaklumkan jurulatih Norway itu telah tiba di Yangon pada Selasa.

Sebaik tiba, beliau mengadakan perbincangan dengan barisan kepimpinan MFF berhubung perancangan skuad senior Myanmar. Dua kejohanan dijangka menjadi fokus iaitu ASEAN Hyundai Cup dan FIFA ASEAN Cup.

Sekiranya semua proses berjalan lancar, Andersen akan memeterai kontrak bersama MFF untuk mengisi kerusi panas berkenaan.

Andersen bukan saja akan mencipta sejarah sebagai jurulatih Norway pertama membimbing Myanmar. Malah, beliau juga bakal menjadi jurulatih asing pertama membimbing Myanmar sejak Ogos 2024.

Kali terakhir Myanmar menerima sentuhan jurulatih asing ialah 1 Mac 2023 semasa negara itu dibimbing bekas jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner.

Selepas Feichtenbeiner meninggalkan pasukan itu pada Ogos 2024, tugas jurulatih negara itu digalas legenda Myanmar, Myo Hlaing Win.

Selepas mengharungi aksi persahabatan menentang Vietnam pada 15 Julai, Myanmar akan membuka kempen Kumpulan B dengan menentang Harimau Malaya pada 25 Julai.

Selain Hong Kong, Andersen pernah membimbing Yunnan Yukun, Skoda Xanthi, Rot-Weiss Oberhausen, FC Luzern Bawah 21 Tahun (B-21), Karlsruher SC, Austria Salzburg, AEL, Korea Utara, Kickers Offenbach, Mainz 05 dan Incheon United.