Penyerang kebangsaan, Hadi Fayyadh Abdul Razak memikul tugas istimewa buat kontinjen Malaysia yang bersaing dalam temasya Sukan Para Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
Bekas penyerang PDRM FC itu kini memikul tugas sebagai Pegawai Perhubungan Luar Kontinjen Malaysia sepanjang temasya berlangsung.
Apabila ditanya bagaimana beliau mendapat peluang memikul tugas itu, Hadi Fayyadh memaklumkan perkara itu terjadi menerusi pengurusnya, Encik Hamada. Ini ditambah dengan saingan liga membabitkan pasukannya, Vencedor Mie United sudah berakhir.
Selepas merasai peluang menjadi atlet, ini dilihat peluang buat dirinya menyumbang sebagai pegawai perhubungan luar kontinjen negara.
“Pertama sekali, masa itu liga saya baru habis minggu lepas. Jadi, saya dapat panggilan daripada pengurus saya, dia macam bapa angkat saya, Encik Hamada. Dia tanya saya lepas habis liga ini, ada Sukan Para Asia di Jepun.
“Dia kata, ‘Awak nak terlibat tak?’ Saya cakap, ‘Oh, boleh.’ Selalu saya bermain sebagai seorang atlet kan. Jadi, saya pun nak rasa pengalaman sebagai staf belakang tabir.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Mr. Hamada, Encik Syukri dan Encik Yazid kerana menyambut ke dalam pasukan MSN, kerana menyambut saya dengan sangat baik dan beri saya peluang untuk bersama mereka,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Antara tugas Hadi Fayyadh ialah membantu dari segi pengangkutan dan komunikasi buat atlet dan pegawai kontinjen yang bertugas.
Bekas penyerang Perak FC itu turut menikmati pengalaman berkelana di negara Matahari Terbit itu. Hadi Fayyadh turut memuji kualiti terutama dari segi latihan dan fasiliti yang dimiliki.