ACL

Kuching City Hilang 7 Pemain Hadapi Gangwon

Etame Ngah Kuching City FC Kuching City Hilang 7 Pemain Hadapi Gangwon
Kuching City FC
Advertisements

Kuching City FC berdepan cabaran besar menjelang aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL Two) menentang Gangwon apabila skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dihimpit masalah kecederaan yang menyaksikan sehingga tujuh pemain terpaksa diketepikan.

Situasi itu pastinya memberi cabaran tambahan buat The Cats yang bakal melayan kunjungan wakil Korea Selatan, Gangwon FC dalam aksi peringkat kumpulan ACL Two pada Khamis, 5 November.

Ketua jurulatih Kuching City, Aidil Sharin mengesahkan perkara tersebut ketika sidang media praperlawanan pada Rabu dengan memaklumkan enam hingga tujuh pemain penting pasukannya sedang bergelut dengan kecederaan.

“Pertama sekali, semua aksi amat penting buat kami, tidak mudah (untuk bermain di ACL2) kerana kami masih baru dalam kejohanan ini.”

“Ditambah pula, kami tidak berada dalam keadaan baik kerana dihimpit krisis kecederaan, dalam 6-7 pemain penting kami alami kecederaan.”

Lebih membimbangkan, dua tonggak import pasukan iaitu Ronald Ngah dan Gabriel Peres dijangka terpaksa berehat panjang selepas perlu menjalani pembedahan lutut.

“Tiada apa yang perlu berselindung, Ronald Ngah dan Gabriel Peres terpaksa berehat selama 2 bulan kerana mereka perlu menjalani pembedahan lutut,” kata Aidil Sharin.

Dalam masa sama, Jimmy Raymond turut tidak dapat diturunkan bagi pertemuan menentang Gangwon selepas mengalami kecederaan pada ibu jari kaki ketika sesi latihan gimnasium.

“Untuk aksi esok, Jimmy Raymond masih terpaksa disisihkan kerana pada hari ini ketika sesi gim, dumbel terjatuh di atas ibu jari kakinya.”

Selain itu, dua lagi pemain import iaitu Ajdin Mujagic dan Ahmad Israiwah turut tidak berada dalam senarai pemain yang boleh diturunkan selepas mengalami masalah kecederaan.

“Ajdin (Mujagic) juga tidak dapat diturunkan kerana mengalami masalah ketegangan pada bahagian pangkal paha, begitu juga Ahmad (Israiwah).”

Aidil turut berharap barisan pemain yang terpaksa diketepikan itu dapat kembali memperkuatkan pasukan selepas tamat jendela antarabangsa FIFA bagi membantu Kuching City mengharungi baki saingan.

“Ini 4 pemain import penting yang saya sebutkan tidak dapat beraksi dan saya harap selepas jendela antarabangsa FIFA nanti semua akan kembali.”

Walaupun berdepan kekurangan pilihan pemain, Aidil tetap mengakui bahawa Gangwon merupakan lawan yang memiliki kualiti tersendiri menerusi kehadiran pemain berpengalaman di pentas kejohanan Asia.

“Sudah tentu kami akan turun dengan pemain yang tersedia dan sedar pihak lawan amat kuat dengan pemain hebat serta berpengalaman di kejohanan ini.”

Kuching City kini perlu memanfaatkan pemain yang masih cergas bagi menghadapi cabaran Gangwon, sekali gus meneruskan usaha mengutip mata dalam kempen sulung mereka di pentas ACL Two.