Gangwon FC kini berada dalam tekanan, dan situasi itu membuka ruang buat Kuching City untuk mencipta kejutan.
Kelab K League 1 itu sedang bergelut mencari konsistensi dalam beberapa aksi terakhir, manakala wakil Sarawak pula masih memburu kemenangan pertama mereka di pentas Asia.
Pertemuan kedua antara kedua-dua pasukan dalam masa seminggu ini dilihat bukan lagi perlawanan berat sebelah seperti yang dijangkakan ramai.
Dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Phnom Penh Crown mendahului kedudukan dengan enam mata, diikuti Gangwon dengan empat mata dan Kitchee dua mata, manakala Kuching City di tangga tercorot dengan satu mata. Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan 16 terakhir.
Pada pertemuan terakhir, Gangwon menang 1-0 ke atas Kuching City dalam aksi ketiga kumpulan di Gangneung High1 Arena pada 29 Oktober, hasil jaringan Choe Byeong-chan pada minit ke-27 yang menyudahkan gerakan dicipta Kang Joon-hyuck.
Namun, kemenangan itu sebenarnya satu-satunya kejayaan Gangwon dalam empat aksi terakhir di semua pertandingan. Skuad bimbingan Chung Kyung-ho itu seri 1-1 dengan Incheon United pada 18 Oktober dan seri 1-1 dengan FC Seoul pada 24 Oktober, sebelum tewas 1-2 kepada Ulsan dalam Pusingan Kejuaraan K League 1 pada 1 November.
Lebih awal, mereka turut tumbang 1-2 di laman sendiri kepada Phnom Penh Crown dalam ACL2 pada 15 Oktober.
Statistik pertemuan dengan Kuching City oleh SofaScore juga tidak menggambarkan kemenangan yang meyakinkan. Walaupun menguasai 63 peratus penguasaan bola, melepaskan 15 percubaan berbanding lapan, dan melengkapkan 582 hantaran berbanding 335, pasukan tuan rumah gagal mencipta walau satu peluang keemasan.
Sebaliknya, Kuching City yang hanya memegang 37 peratus penguasaan bola mencipta satu peluang keemasan, sekali gus memaksa penjaga gol Gangwon melakukan dua selamatan berbanding hanya satu oleh penjaga gol pelawat.
Data larian turut memihak kepada The Cats yang mencatat jarak larian 98.7 kilometer, jauh mengatasi 86.0 kilometer milik Gangwon. Gangwon juga melakukan 16 kekasaran berbanding 11 oleh Kuching City, petanda mereka tidak selesa berdepan tekanan pasukan yang lebih rendah ranking. Malah, selepas rehat, Gangwon terus menguasai permainan tetapi serangan tumpul menghalang mereka menambah jaringan.
Bagi wakil Sarawak itu, kempen sulung di pentas Asia memang belum berjalan lancar. Mereka tewas 2-1 kepada Phnom Penh Crown dalam aksi pembukaan sebelum seri 1-1 dengan Kitchee SC di Stadium Taha Ariffin pada 15 Oktober. Namun, skuad kendalian jurulatih Singapura, Aidil Sharin Sahak itu sedang menunjukkan taring di pentas domestik apabila berada di tangga ketiga Liga Super dengan empat kemenangan daripada enam perlawanan.
Tugasan ACL2 juga tidak menghalang naib juara Liga Super musim lalu itu bersaing dengan Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim, malah mereka sudah membelasah KL City dan Kelantan Red Warrior FC. Momentum ini memberi keyakinan bahawa The Cats mampu membawa prestasi liga ke pentas Asia, terutamanya ketika beraksi di depan penyokong sendiri.
Kedua-dua pasukan akan bertemu semula di Stadium Taha Ariffin pada Khamis, 5 November, dengan sepak mula dijadualkan jam 8.15 malam.
Selepas aksi ini, pasukan bimbingan Aidil akan menerima kunjungan Phnom Penh Crown pada 26 November sebelum menutup kempen Kumpulan H di tempat lawan menentang Kitchee SC pada 3 Disember.
Dengan baki tiga perlawanan, kemenangan ke atas Gangwon bukan sahaja bakal menjadi sejarah buat kelab, malah boleh menghidupkan semula peluang mereka untuk bersaing merebut tempat ke pusingan seterusnya.


