Pembantu jurulatih Gangwon FC, Park Yong-ho optimis untuk mengecewakan lawan dari Malaysia, Kuching City FC buat kali kedua.
Kedua-dua pasukan bertemu buat kali pertama dalam sejarah pada 29 Oktober lalu bagi aksi Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) apabila gol babak pertama pemain tengah Choe Byeong-chan sudah cukup untuk memberikan kemenangan pertama ACL2 musim ini kepada jaguh Korea itu.
Pengendali dari Korea Selatan itu mahu anak buahnya mengulangi keputusan sama apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi Kumpulan H di Stadium Taha Ariffin, Kuching pada 5 November jam 8.15 malam.
Gangwon tiba dengan tekanan selepas tewas 1-2 kepada Ulsan HD dalam aksi K League 1 pada 1 November apabila gagal mempertahankan gol pendahuluan, sekali gus kekal di tangga kelima dengan 48 mata.
Kuching City pula masih berada dalam kelompok pendahulu Liga Super apabila menduduki tangga ketiga dengan 12 mata daripada enam perlawanan, selain sedang bersaing di peringkat separuh akhir Piala FA.
Yong-ho juga melihat para pemainnya boleh menyesuaikan diri dengan baik untuk menyerap tekanan daripada penyokong Kuching City.
“Sudah pasti kelebihan buat pasukan tuan rumah (ada penyokong). Akan tetapi, selepas wisel ditiup, para pemain akan memberi fokus dan kami juga memiliki pemain berpengalaman untuk mengatasi situasi ini.
“Kami akan memilih barisan pemain terbaik untuk diturunkan tatkala kami mempunyai barisan pemain yang mencukupi,” ujarnya.
Sementara itu, ketua jurulatih Gangwon itu tidak memandang ringan ancaman The Cats yang disifatkannya seimbang dalam menyerang dan bertahan.
“Apa yang penting adalah kami tidak bolos esok. Saya boleh katakan mereka memiliki pemain muda berkualiti. Pada aksi pertama, pemain nombor 24 (Ajdin Mujagic).
“Kami akan mempertaruhkan strategi terbaik untuk beraksi esok bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya,” tambahnya lagi.
Kuching City kini berada di tangga tercorot Kumpulan H dengan satu mata, manakala Phnom Penh Crown mendahului dengan enam mata, diikuti Gangwon (empat) dan Kitchee (dua).
Peluang bagaimanapun masih terbuka luas buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak memandangkan jurang dengan tangga kedua hanya tiga mata, sementara wakil Korea itu sendiri pernah tersungkur kepada Phnom Penh Crown dan hanya mengutip satu kemenangan dalam tiga perlawanan.
Lebih manis, The Cats masih belum tewas di laman sendiri dalam saingan ini selepas diikat 1-1 oleh Kitchee dan mereka kemudian akan menerima kunjungan Phnom Penh Crown pada 26 November sebelum menamatkan aksi kumpulan menentang Kitchee pada 3 Disember.
Dengan hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke pusingan 16 terakhir, kemenangan esok bakal menjadi titik penentu kepada kempen sulung Kuching City di pentas Asia.


