“Bila Masuk Tadi, Saya Memang Nak Bawa Impak” – Fergus Tierney
MakanBola
Malaysia NT

Fergus Tierney muncul sebagai wira Harimau Malaya apabila meledak gol penting untuk membantu Malaysia menamatkan saingan di tempat ketiga dalam FIFA ASEAN Cup 2026 selepas menewaskan Vietnam.

Penyerang berusia 23 tahun itu memulakan perlawanan di bangku simpanan sebelum dibawa masuk oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe bagi menggantikan Bergson da Silva. Lebih manis, jaringan tersebut merupakan gol pertama Tierney dalam kejohanan ini.

“Bila masuk tadi, saya memang nak bawa impak. Saya rasa itu adalah sentuhan pertama saya dalam perlawanan. Saya gembira kerana dapat membantu pasukan dan saya gembira pada ketika ini. Saya harap kami dapat kekal dalam momen ini sebagai sebuah pasukan,” kata Fergus dalam sesi sidang media selepas perlawanan.

Tierney tidak memerlukan masa yang lama untuk membuktikan kata-katanya apabila menerima bola di luar kawasan penalti pada minit ke-62 sebelum melakukan pusingan dan melepaskan rembatan deras ke arah gawang Vietnam.

Rembatan tersebut kemudian menembusi celah kaki pertahanan Vietnam, Bui Hoang Viet Anh sebelum bola menerjah jaring dan gagal diselamatkan penjaga gol Patrik Le Giang. Jaringan itu sekali gus menjadi detik penting dalam usaha Malaysia memburu kedudukan ketiga kejohanan.

Pengalaman Tierney beraksi di Liga Cyprus juga mungkin membantu meningkatkan keyakinannya di hadapan gawang, terutama ketika menyudahkan peluang penting.

Jaringan Tierney itu turut membantu Malaysia menamatkan badi tanpa kemenangan ke atas Vietnam sejak 2014, sekali gus menjadi penutup manis buat Harimau Malaya dalam kempen kali ini.