Kisah Kebangkitan Brad Tapp Persis Brendan Gan
MakanBola
MNT/FAM

Tidak ramai orang tahu kisah kebangkitan bek tengah Harimau Malaya, Brad Tapp persis bekas arkitek skuad negara, Brendan Gan.

Kebangkitan yang dimaksudkan di sini ialah bangkit daripada kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL). Meskipun nama Tapp menjadi pujaan penyokong Harimau Malaya, beliau pernah bergelut dengan kecederaan ACL sebanyak dua kali dalam kariernya.

Tapp mengalami kecederaan ACL buat kali pertama pada September 2022. Kecederaan itu menyebabkan beliau terlepas satu musim penuh bersama kelabnya pada ketika itu, Central Coast Mariners (CCM).

Selepas merasai kemanisan bergelar juara Piala AFC, Tapp sekali lagi diuji dengan kecederaan sama pada November 2024. Hal itu menyebabkan bek tengah berusia 25 tahun itu terlepas sebahagian besar musim 2024/25.

Sejarah kecederaan ACL yang dialami Tapp boleh dilihat dalam rekod Transfermarkt berhubung sejarah kecederaan anak jati Sydney, Australia itu.

Meskipun begitu, kecederaan tersebut langsung tidak mematahkan semangat beliau. Sebelum menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim ini, Tapp merekodkan 26 penampilan dan satu gol bersama CCM pada musim 2025/26.

Brendan juga pernah berdepan isu kecederaan serupa. Bekas jeneral tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC) itu terpaksa berehat panjang pada 2015 ketika bersama Kelantan.

Brendan kemudiannya ditimpa kecederaan ACL buat kali kedua ketika beraksi dalam aksi Harimau Malaya menentang Indonesia pada 2016. Kecederaan itu menyebabkan beliau terpaksa berehat panjang dan melupakan kempen ASEAN Championship 2016.

Meskipun diuji dengan kecederaan serius dan kanser testikular, itu langsung tidak mematahkan semangat Brendan. Selain kembali beraksi di atas padang bersama Selangor, KL City dan kini Sutherland Sharks, beliau juga membawa cabaran Malaysia di Piala Asia 2023.

Justeru, kisah Tapp dan Brendan dilihat satu inspirasi buat para peminat di luar sana. Meskipun diuji dengan ujian hebat, kedua-duanya menunjukkan keazaman untuk bangkit dan kembali beraksi untuk kelab dan Malaysia.