UltraSukan

Ramadan Ondash: Johan Ghazali Macam Budak-Budak

Johan Ghazali 6 Ramadan Ondash: Johan Ghazali Macam Budak-Budak
Instagram/Johan Ghazali
Advertisements

Jaguh Muay Thai Lubnan, Ramadan Ondash mengkritik perilaku jaguh Muay Thai Malaysia, Johan Ghazali.

Ini kerana pada hemat jaguh berusia 20 tahun itu, Johan disifatkan tidak matang dan berperangai seperti budak-budak.

Ramadan turut menyifatkan tingkah laku tersebut tidak akan memadamkan hakikat bahawa beliau menewaskan jaguh negara itu dalam gelanggang.

“Saya tak nak bercakap tentang budak itu (Johan Ghazali). Saya tak tahu, beliau berperangai seperti budak-budak. Beliau tak mengikuti saya lagi di Instagram, tiada masalah.

“Tapi bagi saya, saya masih pemenang. Saya tak kisah tentang pelindung mulut, saya tak kisah. Saya menang, Alhamdulillah,” katanya dalam satu video ONE Championship.

Jaguh Lubnan itu turut menasihatkan Johan agar fokus terhadap dirinya dan berhenti bercakap tentang beliau. “Fokus pada diri anda. Berhenti bercakap tentang saya,” tambahnya.

Ramadan kini sibuk mengatur persediaan untuk aksi ONE: The Inner Circle 38 menentang jaguh Jepun, Shimon Yoshinari.

Johan pula bakal kembali ke gelanggang untuk pertarungan menentang jaguh Colombia, Johan Estupinan pada Disember ini.