Cerita Jatuh Bangun Malaysia Tempah Tiket Ke Piala Asia B-20
MakanBola
AFC

Malaysia akhirnya mengesahkan tiket ke Piala Asia B-20 2027 selepas melalui perjalanan penuh debar dalam Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-20 2027.

Skuad kendalian negara mengakhiri kempen di tempat kedua kumpulan dengan mengutip lima mata hasil dua keputusan seri menentang Indonesia dan Australia sebelum menewaskan Laos 2-1 dalam aksi terakhir.

Bagaimanapun, kemenangan ke atas Laos yang menghuni tangga keempat kumpulan tidak dikira dalam pengiraan kedudukan naib juara terbaik kerana keputusan menentang pasukan tercorot kumpulan perlu diketepikan.

Situasi itu menyebabkan Malaysia hanya membawa dua mata daripada dua keputusan seri ketika dibandingkan dengan naib juara kumpulan lain, sekali gus menjadikan peluang ke Piala Asia B-20 masih belum terjamin biarpun kempen mereka sudah tamat.

Malaysia kemudiannya terpaksa menunggu keputusan daripada kumpulan lain sebelum mengetahui nasib sebenar mereka dalam perebutan tujuh slot naib juara terbaik.

Detik paling melegakan hadir selepas Kuwait mencatatkan kemenangan yang secara tidak langsung membantu Malaysia apabila keputusan tersebut menyebabkan Malaysia naik ke tangga ketujuh dalam carta naib juara terbaik dengan dua mata.

Malangnya buat Kuwait, kemenangan itu masih belum cukup untuk membawa mereka ke pusingan akhir apabila mereka sekadar menduduki tangga kelapan dalam senarai naib juara terbaik.

Situasi tersebut akhirnya mengesahkan Malaysia sebagai pasukan terakhir yang melayakkan diri menerusi slot naib juara terbaik, sekali gus melengkapkan perjalanan dramatik Harimau Muda ke pentas Asia.

Malaysia kini bakal bersama Indonesia sebagai dua wakil daripada Kumpulan H yang akan beraksi di Piala Asia B-20 2027 di China, dengan kedua-dua pasukan berjaya melepasi kempen kelayakan yang penuh drama.