Hasrat juara Korean FA Cup, Pohang Steelers menamatkan kempen Kumpulan J Liga Juara-Juara AFC (ACL) dengan rekod tanpa kalah hari ini berjaya dicapai.
Ini selepas mereka bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih keputusan seri 1-1 dengan Wuhan Three Town di Pusat Sukan Wuhan.
Wuhan yang sudah tersingkir melihat perlawanan hari ini sebagai medan menebus maruah mereka di hadapan penyokong sendiri.
Dengan Pohang sudah layak ke pusingan 16 pasukan terbaik, jurulatih Kim Gi-dong membuat perubahan besar kepada kesebelasan utama.
Beliau memberi peluang kepada Lee Gyu-baeg membuat kemunculan pertama untuk pasukan itu pada usia 19 tahun.
Babak pertama menyaksikan Pohang banyak mendominasi perlawanan. Bagaimanapun, kekentalan pertahanan tuan rumah memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Bersambung pada babak kedua, pasukan pelawat terus berusaha menembusi gawang tuan rumah.
Malangnya, apa yang diharap mereka tidak berlaku. Sebaliknya, Wuhan mendahului pada minit ke-49 menerusi gol sendiri Gyu-baeg.
Tersentak, Pohang bangkit memburu gol penyamaan. Kesungguhan mereka akhirnya membuahkan hasil apabila peledak mereka, Lee Ho-jae menyamakan kedudukan pada minit ke-77.
Kedua-dua pasukan berusaha memburu gol kemenangan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Pohang menamatkan kempen Kumpulan J sebagai juara kumpulan dengan 16 mata. Sementara Wuhan pula menamatkan kempen di tempat ketiga.
Sofascore memilih Ho-jae sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.0 mata. Manakala bek kiri Wuhan, Jiang Zhipeng dipilih pemain terbaik Wuhan dengan markah 7.8 mata.