ACL: Kad Merah Bantu Al-Hilal Tundukkan Sepahan
ACL
Al-Hilal
Advertisements

Kelebihan beraksi dengan 11 pemain membantu kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal mengatasi cabaran Sepahan 3-1 dalam aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Meskipun beraksi di gelanggang lawan, The Blue Waves dianggap pasukan pilihan. Ini kerana pasukan itu memiliki ramai bintang import termasuk penjaring terbanyak mereka, Aleksandar Mitrovic.

Lantas, tidak hairanlah sebaik sepak mula, Sepahan berusaha menyerap asakan pelawat dengan formasi 4-5-1.

Advertisements

Taktik yang digunakan pengurus Portugal, Jose Morais itu menyebabkan Al-Hilal berdepan kesukaran menembusi pertahanan pasukan yang diberi jolokan The Yellow Storm itu.

Malah, tuan rumah mencipta kejutan dengan mendahului pada minit ke-37 menerusi Ramin Rezaeian selepas menerima hantaran Mohammed Daneshgar. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Al-Hilal yang dibimbing bekas jurulatih Benfica, Jorge Jesus terus menggandakan serangan ke atas kubu Sepahan.

Advertisements

Kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila pemain sayap Brazil, Malcom menyamakan kedudukan pada minit ke-57.

Nasib Sepahan bertambah malang apabila semakan pembantu pengadil video (VAR) mendapati Daneshgar melakukan terjahan lewat ke atas pemain Al-Hilal.

Lantas, pengadil membatalkan kad kuning yang dilayangkan kepada penjaga gol The Yellow Storm, Payam Niazmand dan melayangkan kad merah kepada bek tengah berusia 30 tahun itu.

Advertisements

Meskipun beraksi dengan 10 pemain, Sepahan berusaha mendapatkan keputusan seri agar meraih kelebihan dalam aksi kedua pusingan pada minggu hadapan.

Malangnya, hajat yang diimpikan tuan rumah tidak kesampaian. Mitrovic dan Abdullah Al-Hamdan meranapkan impian Sepahan dengan masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-94 dan 97.

Sofascore memilih Malcom dan Saud Abdulhamid sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini. Ini selepas kedua-duanya berkongsi markah 7.5 mata.

Advertisements

Kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi pada 23 Februari ini bagi menentukan pasukan mana layak ke slot suku akhir.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram