Saingan Liga Juara-Juara AFC diteruskan dengan aksi kumpulan F yang menemukan Lion City Sailors melayan kunjungan Bangkok United di Stadium Jalan Besar. Perlawanan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Bangkok United dengan kedudukan 2-1.
Perlawanan dimulakan dengan penguasaan penuh dipamerkan oleh Bangkok United dengan mereka saling bertukar-tukar hantaran pendek manakala bagi tuan rumah, mereka memfokuskan kepada serangan balas.
Tuan rumah akhirnya berjaya di depan pada minit ke-25 perlawanan hasil percubaan Diego Lopes yang terus menerjah jaring Bangkok United.
Tersentak dengan gol Lion City Sailors, Bangkok United terus melakukan asakan ke benteng tuan rumah yang dikemudi bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun.
Namun kedudukan 1-0 itu kekal memihak Lion City Sailors sehingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua pula dimulakan dengan kawalan bola yang hampir menyeluruh memihak Bangkok United. Manakala pendekatan bertahan terus menjadi pilihan Lion City Sailors.
Ternyata usaha yang dibuat barisan pemain Bangkok United membuahkan hasil apabila Everton menjaringkan gol melalui tandukan pada minit ke-51.
Serangan Bangkok United tidak terhenti di situ apabila mereka terus menekan barisan pertahanan Lion City Sailors. Pemain berpengalaman, Thitiphan Puangchan berjaya meletakkan Bangkok United selepas merembat masuk gol pada minit ke-62. Kedudukan berubah menjadi 2-1 memihak Bangkok United.
10 minit selepas terhasilnya gol itu, Lion City Sailors berjaya menjaringkan gol namun gol tersebut telah dibatalkan selepas pengadil mengesan kekasaran yang dilakukan ke atas pemain Bangkok United.
Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat sekaligus memberikan tiga mata berharga buat pasukan pelawat, Bangkok United.
Kemenangan tersebut meletakkan Bangkok United berada di tangga teratas kumpulan F, berkongsi mata dengan pasukan gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai.